Negeri Perak lahir dari aliran air yang
menebing di Sungai Perak daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke
muaranya di Selat Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan
keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik
untuk mendarat. Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru
dan berinteraksi dengan pribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang
ada sekarang.
Mereka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di
tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah
bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan
permandangannya sungguh indah. Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala
sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'.
Kononnya itulah nama asalnya, "Kuala Kurang Sa" dan kemudiannya disebut
"Kuala Kangsar" sahaja. Namun begitu terdapat versi mengatakan mengambil
sempena nama pokok kangsar yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai.
Walaubagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang
sangat baik, bukan sahaja sesuai sebagai tempat mendarat, tetapi memang
baik untuk penempatan, untuk bercucuk tanam, untuk pusat perniagaan. Di
daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga
ternampak Gunung Pondok di Padang Rengas, iaitu satu mercutanda yang
memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.
Berdasarkan keistimewaan ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala
Kangsar dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, sudah
berabad-abad lamanya didiami orang.Pokok getah yang pertama ditanam di
Malaysia yang kini berusia lebih 100 tahun masih hidup subur di
perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. Saiznya tiga atau
empat pemeluk.
Kuala Kangsar adalah merupakan Bandar DiRaja dan bersejarah bagi
negeri Perak Darul Ridzuan. Kuala Kangsar juga merupakan kawasan
pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan IKS
(Industri Kecil dan Sederhana)yang menarik. Terletak kira-kira 48
kilometer ke utara dari Ipoh. Kuala
Kangsar mendapat nama bersempena pokok kangsar yang tumbuh di tebing
sungai dan juga terdapat versi mengatakan terdapatnya 99 anak sungai dan
kurang 1 kepada seratus, iaitu melalui sebutan Kuala Kurang Sa. Kuala
Kangsar dapat dihubungi melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) melalui EXIT 143 Persimpangan Kuala Kangsar, jalan persekutuan dan melalui kemudahan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Kuala Kangsar juga merupakan sebuah daerah yang ditadbir oleh Pejabat
Daerah Kuala Kangsar dan bagi kawasan perbandaran ditadbir oleh Majlis
Perbandaran Kuala Kangsar. Pusat pertumbuhan utama daerah adalah Bandar
Kuala Kangsar, Sungai Siput (U), Padang Rengas, Manong, Sauk, Karai,
Salak, Lintang dan Lasah. Bandar Sungai Siput (U) merupakan pusat
pertumbuhan kedua terbesar selepas Bandar Kuala Kangsar.
Aktiviti ekonomi utama adalah terdiri daripada aktiviti pertanian.
Terdapat 9 buah Mukim di dalam kawasan Daerah Kuala Kangsar iaitu:
- Mukim Chegar Galah
- Mukim Kota Lama Kiri
- Mukim Lubok Merbau
- Mukim Kampung Buaya
- Mukim Senggang
- Mukim Sayong
- Mukim Kota Lama Kanan
- Mukim Sungai Siput
- Mukim Pulau Kemiri